Sejak kebelakangan ini, isu kenaikkan harga barang hangat diperkatakan. Dari kenaikkan harga bahan mentah dan barang keperluan harian sehinggalah kepada isu yuran persekolahan menjadi topik utama perbincangan.
Pada pembentangan Belanjawan Budget 2008 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa yuran persekolahan akan dilupuskan. Rata-rata ibu bapa merasa lega dengan keputusan tersebut.
Namun, apabila sesi persekolahan 2008 bermula, terdapat banyak desas-desus berkaitan yuran persekolahan. Seperti yang telah diketahui umum bahawa tiada lagi yuran persekolahan akan dikenakan. Tetapi hakikatnya ia telah diganti dengan yuran tambahan yang agak mengelirukan.
Para ibu bapa telah menerima surat pekeliling yang menyatakan yuran tahunan yang dikenakan sebelum ini sebanyak RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9 bagi sekolah menengah setahun telah digantikan dengan Yuran Pakej Tambahan.
Bertitik tolak dari situ, lahirnya 1001 keraguan berkaitan yuran persekolahan. Ia dilihat lebih membebankan ibu bapa malah keadaan bertambah buruk apabila ada pihak sekolah mengenakan pelbagai caj yuran yang boleh dianggap pelik.
Akibat wujudnya pelbagai spekulasi, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa dasar kerajaan tidak pernah mewajibkan bayaran yuran tambahan. Pihak kementerian juga menetapkan paras siling atau amaun maksimum bayaran bagi sekolah rendah ialah RM 38.50 manakala bagi sekolah menengah sebanyak RM 55.50. Ia merangkumi aktiviti kokurikulum, sukan tahunan, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan Moral selain Skim Perlindungan Diri.
Namun segala penjelasan yang dibuat tidak mampu meredakan hati ibu bapa yang terus dilanda kebimbangan. Malah lebih memburukan keadaan lagi, wujudnya pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan ke atas masalah ini. Hampir setiap sekolah di setiap negeri mengalami masalah yang serupa.
Sebuah sekolah menengah di Permas Jaya, Johor Bahru, telah mengenakan yuran penyelenggaraan tandas kepada pelajarnya. Walaupun amaunnya hanya sebanyak RM 5, namun tindakan pengurusan sekolah tersebut sudah pastinya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ibu bapa.
Seorang bapa, Mohd Abdullah, 37, mengakui terkejut apabila dikenakan yuran berkenaan selain yuran tambahan semasa membayar yuran persekolahan anak sulungnya yang menuntut di tingkatan dua sekolah tersebut.
Masalah ini telah mendapat perhatian Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon. Malah beliau mengarahkan agar pihak pengurusan sekolah terbabit memulangkan kembali yuran penyelenggaraan tandas tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa yuran tersebut tidak sewajarnya dikenakan berikutan kos penyelenggaraan tandas adalah di bawah tanggungjawab sekolah menerusi peruntukkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).
Berbeza pula dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh. Sekolah tersebut mengenakan caj tuala wanita kepada pelajar perempuan. Bayaran sebanyak RM 26 setahun itu termasuk dengan yuran keseluruhan yang berjumlah RM 112.50 bagi setiap pelajar perempuan yang mendaftar bagi kemasukkan ke tingkatan satu. Lebih menghairankan lagi, caj tuala wanita itu tidak disenaraikan dalam senarai pakej yang diberikan kepada ibu bapa sebelum itu. Malah resit yuran tuala wanita tersebut diberi secara berasingan daripada resit yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan yuran sekolah. Seorang suri rumah, Salizawati, 33, berkata, bayaran itu disedarinya ketika diminta oleh guru di sekolah tersebut ketika membuat bayaran pendaftaran anaknya.
“Saya merasa pelik ketika cikgu meminta saya membayar lagi RM 26 untuk tuala wanita sedangkan keperluan itu sememangnya disediakan oleh ibu atau pelajar itu sendiri,” katanya.
Para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail (SK TTDI) pula dikejutkan dengan senario di mana mereka dibebani dengan kutipan yuran untuk tabung PIBG sebanyak RM 145. Ia merangkumi yuran PIBG sebanyak RM 40, bayaran dewan RM 15, bayaran penyelenggaraan sekolah RM 20 dan bayaran komputer RM 70. Jumlah ini amat mengejutkan para ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Seorang ibu, Solehah Abd Latif, 30, berkata, dia amat terperanjat melihat jumlah yuran PIBG yang terlalu tinggi daripada catatan yuran tambahan sekolah untuk anaknya.
Situasi ini menjelaskan bahawa pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 ini telah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran di kalangan ibu bapa. Malah ada yang menyifatkan pemansuhan yuran tersebut bukan lagi menyenangkan, sebaliknya menyusahkan dengan pelbagai yuran tambahan yang agak mahal.
Di Kelantan pula, golongan ibu bapa mengeluh apabila mereka terpaksa menanggung bayaran tambahan persekolahn yang mencecah sehingga RM 180. Sudah terang-terangan ianya bertentangan dengan kadar bayaran yang di tetapkan oleh kerajaan.
Keadaan yang sama juga berlaku di Perak, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kedah di mana perlaksanaan langkah baru ini dilihat tidak membawa sebarang kesan. Sebaliknya kadar bayaran yuran persekolahan adalah lebih mahal berbanding tahun lepas dan sebelumnya. Seorang pekerja swasta yang juga bapa kepada tiga orang anak, Lee Azlin Johan, 30, menyuarakan pendapatnya agar dikekalkan sahaja yuran persekolahan yang lalu kerana ianya tidak membebankan.
“Lebih baik kekalkan sahaja yuran sebelum ini yang jauh lebih murah dan berpatutan,” ujarnya.
Dasar kerajaan yang telah memperkenalkan sistem Pakej Bayaran Tambahan bertujuan untuk memudahkan pengurusan sekolah dan jauh sekali untuk membebankan golongan ibu bapa. Jika diteliti semula, pakej-pakej yang ditawarkan oleh kerajaan adalah berpatutan dan tidak setinggi seperti yang didakwa. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri telah meluluskan dan akan turut memantau semua jenis pembayaran di sekolah-sekolah. Tiga pakej tersebut mengikut jenis sekolah, lokasi sekolah, bilangan murid dan status ekonomi masyarakat setempat. Sekolah hanya akan memilih satu sahaja pakej pembayaran dengan mengambil kira persekitaran sekolah, pandangan guru dan PIBG. Seorang guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Residensi (RRGS) di Pulau Pinang, Siti Saadah Mustafa, 29, menegaskan bahawa yuran tambahan yang akan dikenakan adalah mengikut piawaian kerajaan. Ianya mengikut latar belakang kawasan tersebut dan ditentukan ketika mesyuarat PIBG.
“Kita akan mengenakan yuran persekolahan sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan dan ianya juga ditentukan bersama dengan persetujuan semua (PIBG),” jelanya.
Setiap sekolah telah diarahkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penentuan Yuran Tambahan yang dianggotai oleh wakil guru-guru, ibu bapa dan dipengurusikan oleh pengetua atau guru besar untuk memilih pakej yang sesuai. Seorang wakil PIBG Sekolah Menengah Raja Tun Uda di Perlis yang juga merupakan ibu kepada anaknya yang menuntut di tingkatan dua, Lee Eng, 37, menyatakan dia telah mendapat khidmat nasihat tentang pembayaran yuran anaknya semasa mesyuarat PIBG.
“Saya dinasihatkan untuk memilih Pakej B dan hanya perlu membayar RM 44.50 untuk setahun,” ujarnya.
Pakej-pakej yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan adalah Pakej A membabitkan sekolah yang berada di dalam kawasan sosioekonomi tinggi dengan majoriti ibu bapanya terdiri daripada kumpulan peniaga besar atau kakitangan awam kumpulan profesional. Harga siling yang di tetapkan untuk sekolah rendah ialah sebanyak RM 38.50, manakala bagi sekolah menengah pula ialah sebanyak RM 55.50.
Manakala Pakej B membabitkan sekolah yang berada di dalam kawasan sosioekonomi sederhana dengan majoriti ibu bapa daripada kumpulan peniaga sederhana atau kakitangan awam kumpulan sokongan. Harga siling yang ditetapkan untuk pakej ini ialah RM 30.50 untuk sekolah rendah dan RM 44.40 untuk sekolah menengah.
Pakej terakhir yang ditawarkan ialah Pakej C yang mana sekolah ini berada di dalam kawasan sosioekonomi rendah dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga kecil, bekerja sendiri, pekerja ladang, atau kakitangan awam kumpulan sokongan II. Ia juga membabitkan sekolah kawasan pedalaman atau sekolah kurang murid (SKM). Untuk pakej ini, paras siling yang di tetapkan ialah RM 23.50 bagi sekolah rendah manakala RM 33.50 bagi sekolah menengah.
|
Bil
|
Jenis Bayaran
|
SR
|
SM
|
|
1.
|
Kokurikulum
|
RM 5.00
|
RM 10.00
|
|
2.
|
Kertas Ujian Dalaman
|
RM 10.00
|
RM 20.00
|
|
3.
|
Sukan Tahunan Sekolah
|
RM 10.00
|
RM 10.00
|
|
4.
|
Kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral
|
RM 10.00
|
RM 10.00
|
|
5.
|
Skim Perlindungan Diri
|
RM 1.50
|
RM 1.50
|
|
6.
|
MSSM
|
RM 2.00
|
RM 4.00
|
|
|
Jumlah
|
RM 38.50
|
RM 55.50
|
PAKEJ A
|
Bil
|
Jenis Bayaran
|
SR
|
SM
|
|
1.
|
Kokurikulum
|
RM 3.00
|
RM 8.00
|
|
2.
|
Kertas Ujian Dalaman
|
RM 8.00
|
RM 15.00
|
|
3.
|
Sukan Tahunan Sekolah
|
RM 8.00
|
RM 8.00
|
|
4.
|
Kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral
|
RM 8.00
|
RM 8.00
|
|
5.
|
Skim Perlindungan Diri
|
RM 1.50
|
RM 1.50
|
|
6.
|
MSSM
|
RM 2.00
|
RM 4.00
|
|
|
Jumlah
|
RM 30.50
|
RM 44.50
|
PAKEJ B
|
Bil
|
Jenis Bayaran
|
SR
|
SM
|
|
1.
|
Kokurikulum
|
RM 2.00
|
RM 8.00
|
|
2.
|
Kertas Ujian Dalaman
|
RM 6.00
|
RM 10.00
|
|
3.
|
Sukan Tahunan Sekolah
|
RM 6.00
|
RM 6.00
|
|
4.
|
Kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral
|
RM 6.00
|
RM 6.00
|
|
5.
|
Skim Perlindungan Diri
|
RM 1.50
|
RM 1.50
|
|
6.
|
MSSM
|
RM 2.00
|
RM 4.00
|
|
|
Jumlah
|
RM 23.50
|
RM 33.50
|
PAKEJ C
Jika merujuk kepada pakej-pakej yang ditawarkan, ianya kelihatan munasabah dan berpatutan. Malahan jika terdapat ibu bapa yang tidak mampu untuk menjelaskan yuran tambahan ini sekaligus, mereka mempunyai pilihan untuk membayar secara ansuran atau bulanan. Sebagai contoh, jika ibu bapa dari sekolah yang memenuhi kriteria Pakej C, setelah mendapat persetujuan dari PIBG sekolah terbabit, yuran tambahan yang perlu dibayar bagi sekolah menengah ialah RM 33.50 untuk setahun atau RM 2.79 sebulan. Manakala RM 23.50 setahun atau RM 1. 95 sebulan bagi sekolah rendah.
Sebenarnya tindakan kerajaan memansuhkan yuran persekolahan dan semua yuran peperiksaan utama bertujuan mencapai objektifnya iaitu kensep pelajaran percuma untuk semua. Ianya bertepatan dengan kehendak semua orang di mana setiap orang layak dan berhak mendapat pendidikan tanpa ada sebab keciciran seperti soal kemiskinan.
Soal pembayaran yuran tambahan ini sebenarnya dari mula lagi telah timbul salah faham. Ketika kerajaan mengumumkan pemansuhan yuran persekolahan, gambaran awal yang mereka fahami ialah mereka tidak perlu membayar apa-apa dan sekadar menyediakan keperluan asas persekolahan seperti baju seragam, alat tulis dan perkakas persekolahan yang lain. Bertitik tolak dari tanggapan yang salah itu, ianya telah menjadi punca kepada timbulnya pelbagai persoalan dan ketidakpuasan.
Wujudnya pelbagai penyelewengan sehinggakan yuran tambahan ini mencecah ratusan ringgit berpunca dari ketidakseragaman yuran tersebut. Ramai yang berharap agar kerajaan mengkaji semula yuran tambahan ini dan seterusnya menyelaraskan bagi seluruh negeri. Dengan cara ini, isu pihak yang cuba mengaut keuntungan berlebihan dapat dibendung.
Realitinya, kita semua menyedari bahawa kos sampingan untuk sebuah sekolah amat tinggi ditambah lagi bilangan pelajarnya yang ramai. Seperti contoh, ketika penganjuran sukan tahunan, ia memerlukan kos untuk menyediakan peralatan sukan. Malah aktiviti-aktiviti tambahan yang dijalankan bagi meningkatkan jati diri pelajarnya turut memerlukan kos sampingan yang tinggi. Kos-kos sampingan tersebut tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Maka, dalam situasi sebeginilah yuran tambahan tersebut akan memainkan peranannya. Secara lahiriah, ia juga merupakan sebahagian dari tanggungjawab ibu bapa.
Pada peringkat permulaan perlaksanaan yuran tambahan ini, setiap pihak ada kekurangannya. Ketika pengumuman dilakukan, ianya tidak menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan perlaksanaan yuran tambahan sehingga menimbulkan pelbagai masalah. Tetapi pembaharuan yang dilakukan ini jauh sekali unutk membebankan masyarakat. Sebaliknya kerajaan cuba untuk menyediakan pendidikan yang sempurna untuk semua. Ianya terbukti apabila tiada bidang lain yang menerima dana sebesar dana dalam bidang pendidikan.
Bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dan ia telah dibuktikan melalui belanjawan yang dibentangkan sejak Rancangan Malaysia Pertama lagi. Malah sehingga kini, bidang pendidikan masih lagi diberi keutamaan berbanding bidang-bidang lain.
Dunia sekarang semakin berkembang pesat dan mempunyai daya saing yang sengit. Pendidikan merupakan satu elemen penting untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Sebaiknya, tidak perlu lagi mempertikaikan isu ini, sebaliknya mencari alternatif lain bagi menangani masalah ini agar kepentingan pendidikan tidak terabai begitu sahaja.