Kehilangan merupakan satu-satunya benda yang menyakitkan apatah lagi kita kehilangan orang yang tersayang..Yang agak rapat dengan kita.
Dalam masa setahun dan mengalami saat dua kali kehilangan amat meruntun perasaan. Bukan tidak redha dengan pemergian mereka, tetapi sebagai orang yang yang amat akrab dengan arwah, boleh merasai kenapa mereka “pergi”.
Kita acap kali mendengar pepatah bahawa seorang ibu boleh menjaga, memahami 10 orang anaknya tapi malangnya 10 orang anak itu belum tentu boleh menjaga ibu mereka. Sangkanya cita sebegini selalu dimainkan dalam kaca televisyen sahaja, tetapi apabila kita sendiri yang merasainya barulah kita akan sedar dan insaf.. Tetapi semua itu telah terlambat. Yang pergi tak mungkin kembali dan masa yang tidak pernah tidak amanah dengan tugasnya dengan memutarkan kembali masa yang telah berlalu pergi.
Tanggal 24 March 2007, seorang ibu telah kehilangan suaminya yang menjadi temannya yang setia selama ini sudah tentu menuntut anak-anaknya balik untuk menemaninya disisi. Dari 6 orang anak-anaknya, 3 perempuan dan 3 lelaki, hanya 3 orang yang tinggal berdekatan dan senegeri dengan ibu tua ini. Yang selebihnya tinggal di bandaraya terkenal, Kuala Lumpur dan itulah anak-anak kesayangan ibu tua ini. Sewaktu kubur arwah bapa mereka masih merah lagi tanahnya, bermacam-macam janji yang ditaburkan demi membalas jasa ibu mereka yang tinggal keseorangan ini. Ada yang memberi harapan akan membeli sebuah rumah untuk ibu tua ini menghabiskan sisa-sisa hidupnya, ada juga yang berjanji akan pulang seminggu sekali untuk menemani ibu tua ini. Takdir telah menentukan segala-galanya. Ibu tua ini telah disahkan buah pinggangnya rosak dan tidak boleh berfungsi. Rutin bagi pesakit buah pinggang, mereka dikehendaki untuk mencuci darah dalm erti kata lain “Dialisis”.
Bermulalah episod baru bagi ibu tua ini. Tiga kali seminggu ibu tua ini akan dihantar ke hospital. Menantu sulungnya yang menggalas tugas ini memandangkan tinggal berdekatan. Anak-anak kesayangnannya telah bersetuju untuk memilih hospital swasta demi keselesaanya. Bayarannya mencecah 6 ratus seminggu.
Hari berganti hari, masa berganti masa, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan.. Tahap kesihatan ibu tua ini semakin teruk. Janji- janji anaknya hanya tinggal janji. Hendak membelikan rumah, tetapi telah dibelikan banglo untuk isteri dan anak-anaknya. Terbantutlah isu untuk membeli rumah untuk ibu tua ini. Seminggu sekalipun amat payah untuk melihat anak-anak kesayangannya balik menjenguk. Masing-masing sibuk dengan kerja dan jarak yang agak jauh. KL lah katakan.. Mereka hanya menitipkan seorang orang gaji Indonesia untuk menjaga seterusnya menemani ibu tua ini.
Tahap kesihatan ibu tua ini semakin buruk. Mungkin juga rindukan arwah suaminya yang tidak jemu menemaninya dalam apa jua keadaan sekalipun. Ibu tua ini sudah tidak mampu untuk berjalan. Patah-patah percakapannya amat susah untuk difahami. Seolah-olah menunjukkan bahawa semangatnya untuk hidup telah hilang. Jemu sudah dia menanti anak-anak kesayangnya yang menjadi kebanggannya suatu ketika dulu.
Akhirnya, tanpa sebarang tanda mahupun kata-kata akhir dari ibu tua ini, dia memilih untuk “pergi” di tangan anak perempuan sulungnya yang agak kurang mendapat perhatiannya suatu ketika dulu.
Tiada gunanya penyesalan. Ibu tua ini telah membawa rindu dan sayangnya terhadap arwah suaminya ini sampai ke mati. Kuasa tuhan, ibu tua ini telah meninggal pada hari sabtu, iaitu hari yang sama selang 8 bulan arwah suaminya kembali ke rahmatullah.Begitu juga, dia telah membawa rajuk dan kecewanya sakali.
Tiada lagi gulai kari ikan dan Char Hor Fan darinya..
Tenanglah Tok di sana bersebelahan dengan Tok Non…